Pandu Uji: Nissan Almera Nismo – Opsyen prestasi untuk sedan praktikal

1 MAIN PIC

Teks dan gambar oleh Hezeri Samsuri

SEBUT Nissan Almera dan umum mengetahui ia sebuah sedan segmen B yang luas, menjimatkan petrol dan datang dengan harga mampu milik. Ciri-ciri ini menjadikan Almera antara sedan bukan nasional yang terlaris di pasaran tempatan. Almera juga menjadikan Nissan pemain kedua terbesar di dalam negara selepas Toyota, menyebabkan Honda jatuh ke tangga ketiga.

Sebagai sebuah sedan entry level, Almera datang dengan enjin 1.5L yang mempunyai fokus yang berat ke arah penjimatan minyak. Mungkin kerana itu kuasa kuda yang dihasilkan sebanyak 101hp dengan tork setinggi 139Nm tidak akan menggugat iman mana-mana pemandu agresif.

Namun Edaran Tan Chong Motors (ETCM), pengedar, pemasang dan pengimport jenama Nissan untuk Malaysia mahu memberikan pilihan kepada yang mahukan sebuah sedan yang sedikit sporti tetapi masih sesuai dijadikan kenderaan sedan untuk keluarga.

Dengan menggunakan kepakaran dari sayap perlumbaan rasmi Nissan, Nismo (Nissan Motorsport), ETCM menawarkan pakej komponen Nismo untuk model Almera.

Komponen yang ditawarkan merangkumi bodykit lengkap, spoiler belakang, sistem suspensi Nismo, ekzos sporti dan rim 16-inci Nismo dengan tayar Continental ContiMax Contact 5.

05-Nissan Almera Nismo-5

Bodykit ini merupakan tambahan kit pada bamper (bamper asal masih dikekalkan), skirting sisi dan apron di belakang. Ia direka dengan kerjasama Nismo dan dikatakan mampu memberikan efek aerodinamik untuk membantu pengendalian kenderaan. Ia juga dibuat menggunakan bahan gentian yang kukuh dan cat bermutu tinggi serta mengikuti piawaian kualiti Nissan.

Sistem suspensi Nismo pula merendahkan sedikit badan Almera ini sebanyak 30mm. Digandingkan dengan rim aloi 16-inci dengan tayar bersaiz 205/50 R16, ruang kosong antara badan kereta dengan tayar dikurangkan secara drastik dan terus menukar karektor luaran Almera ini kepada sesuatu yang lebih garang.

Ekzos stainless steel talaan Nismo memberikan bunyi yang lebih mendalam, namun jurutera Nismo yang ditemu bual berkata ia tidak memberikan sebarang impak pada kuasa kuda mahupun tork.

Sesi pandu uji dilakukan selama lima hari di jalan-jalan sekitar Lembah Kelang. Oleh kerana dari segi teknikal ia tidak mempunyai sebarang peningkatan kuasa, penulis lebih memberi tumpuan kepada talaan suspensi yang dilakukan oleh jurutera tempatan dan dari Jepun sendiri.

1-Nissan Almera Nismo-10

Ride atau pemanduan terasa sedikit keras, tetapi tidak sehingga mengingatkan kita kepada Proton Wira atau Perodua Myvi dengan spring yang dipotong. Oleh kerana jarak roda Almera yang panjang, pemanduan masih ditahap selesa. Suspensi Nismo itu masih mampu menyerap lubang-lubang kecil atau bonggol-bonggol kecil dengan baik, walaupun saiz tayar kini sudah semakin lebar dan nipis. Di atas lebuhraya yang beralun, ayunan spring Nismo yang lebih agresif masih boleh diredam oleh penyerap hentak (shock absorber) asli Nissan.

Dipandu bersama keluarga, ia masih terasa sedikit keras berbanding dengan Almera standard. Tak sampai 500 meter dan penumpang sudah bertanya suspensi apa yang digunakan. Namun walaupun begitu, semua penumpang bersetuju ia masih selesa dan tidak terlalu keras sehingga menyebabkan kepala dan perut terayun-ayun seperti menikmati lagu rap barat.

Bila jalan lurus menjadi bengkang-bengkok dan Almera ini dipaksa bermain di selekoh, komponen Nismonya mula menampakan taring. Stereng terasa lebih neutral dan lebih “direct” serta olengan badan dikekang dengan lebih baik. Tiada ayunan badan yang melampau dari ekor ataupun ciri “understeer” untuk tayar hadapan pada kelajuan sedikit tinggi dari kelajuan malar biasa. Respon stereng lebih telus dan membantu pemandu mengetahui berapa banyak lagi “grip”yang mampu digunakan. Untuk pemandu yang berpengalaman, ia membantu untuk mengetahui selaju mana Almera Nismo ini boleh dipecut di selekoh-selekoh.

Ada ketikanya jalan di selekoh menjadi tidak rata dan memantul-mantul, suspensi Nismo berjaya menyerap bonggolan itu dan memastikan Almera ini tidak “melompat” ke kiri ke kanan bahana “bump steer” (keadaan di mana kereta melompat ke tengah dan ke tepi kerana suspensi yang terlalu keras). Sememangnya kajian terperinci telah dilakukan oleh Nismo sebelum menghasilkan spring tersebut untuk pasaran awam.

Ditambah dengan deruman ekzos Nismo yang garang tetapi masih lembut, peraasan teruja nyata wujud pada penulis ketika “bersilat” dengan Nismo ini dilaluan Kuala Kelawang dan jalan lama ke Bentong.

Berbanding dengan sistem suspensi Impul yang turut ditawarkan oleh ETCM, suspensi Nismo nyata lebih selesa tetapi masih sporti bila diperlukan.

Pakej Nismo yang ditawarkan terbahagi kepada dua – RM8,000 untuk pakej Aerokit (bodykit, tayar dan rim aloi Nismo) dan RM5,000 untuk pakej suspensi dan ekzos Nismo.

13-Nissan Almera Nismo-17

Untuk yang mahu membeli kit ini secara berasingan pula, harga bodykit (termasuk cat) ialah RM3,600, rim aloi 16-inci ialah RM2,800, tayar Continental ContiMax Contact 5 saiz 205/50 R16 ialan RM1,600 (4 unit termasuk imbangan dan penjajaran), ekzos Nismo ialah RM2,000 dan sistem suspensi Nismo pula berharga RM3,000.

Untuk penulis, Almera Nismo ini memberikan lagi daya tarikan model sedan Segmen B ini kepada para pembeli. Ia masih tidak mampu untuk mengejar sedan 2.0-liter, tapi bila di jalan berliku, suspensi yang baik lebih penting dari enjin yang bertenaga – Hezeri Samsuri.

*Unit pandu uji Nissan Almera ini didatangkan dengan beberapa aksesori tambahan yang bakal diperkenalkan oleh ETCM. Antaranya, cermin siss karbon, kerusi hadapan “bucket” Nismo dan stereng Nismo yang diambil terus dari Nissan Juke Nismo.

SPESIFIKASI

Nissan Almera Nismo

Enjin : HR15DE 4 silinder DOHC CVTC
Kuasa maksima : 101hp @ 6,000 rpm
Tork maksima : 139Nm @ 4,000 rpm
Transmisi : 5 kelajuan manual / 4 kelajuan auto
Berat kasar : Dari 1,020kg hingga 1,045 kg
Ciri keselamatan : Dua beg idara, ABS, EBD, BA
Harga : Dari RM66,813.50 (E M/T) hingga RM79,813.50 (VL A/T) tanpa pakej Nismo
Warranti : 3-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu)
Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

6 thoughts on “Pandu Uji: Nissan Almera Nismo – Opsyen prestasi untuk sedan praktikal

  1. February 6, 2014, 5:02 pm

    Pengenalan harga yang agak kompetatif.

    • February 26, 2017, 12:16 pm

      You’re a real deep thenrik. Thanks for sharing.

    • May 10, 2017, 11:30 pm

      Hi edifanob It’s making me smile – that’s got to be a good thing right?I really should use Wonderlands more – actually any online forum. I have too many interests to keep them all maintained properly. I need a couple of clones. One to write, one to paint, one to take photos, one to read, one to work out, one to go to work, one to watch tv, one to go out…. the list goes on

  2. February 6, 2014, 5:06 pm

    Tapi…. harga accessori seperti sgt mahal compare with aftermarket.

    • February 11, 2014, 12:44 pm

      Ada sebabnya. kadang-kadang submit loan harga Nismo, dapat Alemra togel. Jadi downpayment rendah sikit!

  3. Pingback: DIARI PILIHAN KERETA (II) : NISSAN ALMERA | Perspektif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>