Pandu Uji: Nissan Serena S-Hybrid – Ruang Maksima Jadi Taruhan

MAIN PIC

Teks dan gambar oleh Hezeri Samsuri

Dua puluh tahun lalu, MPV diasaskan dari van-van komersil yang secara ringkasnya ditambah tempat duduk belakang, karpet penghias dan pendingin hawa.

Contoh popular ketika itu ialah Nissan C22 Vanette, Toyota Liteace, Ford Econavan/Spectron, Mazda Bongo dan Mitsubishi Delica. Kesemuanya direka sebagai kenderaan komersil, dan suspensi belakang menggunakan spring dedaun (leaf spring) menyebabkan kualiti pemanduan kurang selesa.

Sekarang, MPV tidak lagi direka berdasarkan van-van komersil. Ia memberikan lebih tumpuan kepada keselesaan penumpang dan bagi Nissan, tumpuan juga diberikan kepada penjimatan minyak.

Model Serena S-Hybrid Highway Star ini merupakan generasi keempat dalam keluarga Serena. Di Malaysia, Edaran Tan Chong Motors (ETCM) hanya membawa masuk generasi pertama dan kedua, tapi itu tidak begitu penting kerana generasi ketiga hampir menyerupai generasi keempat.

Serena terbaru masih mengekalkan ciri pintu gelongsor di belakang, bukan pintu seperti pintu kereta. Di Jepun, MPV yang mempunyai pintu gelongsor ini dilihat sebagai MPV sejati dan secara logiknya, pintu ini lebih memudahkan keluar masuk. Ditambah dengan ciri motor elektrik yang membolehkan pintu ini dibuka seara kawalan jauh atau dengan menekan butang, segala kritikan bahawa ini pintu van komersil pasti akan terdiam (sebenarnya, MPV premium seperti Toyota Vellfire, Toyota Estima, Nissan Elgrand dan banyak lagi masih menggunakan pintu gelongsor).

Nissan Serena S-Hybrid 2013-10

Bentuk panjang seperti Serena generasi kedua telah dimansuhkan, dan bentuk Serena terkini lebih berpetak. Mungkin sedikit janggal bentuknya kerana ia tidak lebar, dan sekali imbas ia tak ubah seperti sebuah rumah flet (terutama Serena berwarna hitam atau ungu gelap). Namun dengan bodykit standard yang diberikan, ia tidaklah nampak begitu pelik. Apa yang penting, ia lebih mudah dipandu di tempat letak kenderaan kerana saiznya itu. Malah, ia tidak mengambil ruangan yang besar di anjung rumah teres.

Masuk ke dalam, kabin Serena ini mampu memuatkan lapan orang penumpang dewasa dengan selesa. Menghairankan kerana ia tidaklah selebar Vellfire atau Elgrand tetapi bentuk berpetak yang digunakan memungkinkan penggunaan ruang secara maksima. Kerusi-kerusi ditolak rapat ke dinding pintu, dan siling yang tinggi memberikan ilusi ruang yang banyak.

Nissan Serena S-Hybrid 2013-20

Praktikaliti menjadi senjata utama kabin Serena. Bahagian letak tangan antara kerusi pemandu dan penumpang hadapan boleh digerakkan ke barisan kedua dan ditukarkan untuk menjadi kerusi agar barisan kedua mampu memuatkan tiga penumpang. Jika tidak, tolak ia ke depan dan barisan kedua menjadi dua kerusi kapten yang selesa. Mahukan lebih ruang untuk keluar masuk ke barisan ketiga? Tolak satu kerusi barisan kedua ke dalam dan ia mejadi kerusi bench untuk dua penumpang.

Kerusi pemandu dan penumpang hadapan datang lengkap dengan “arm rest”. Papan pemuka atau dashboard mempunyai tiga bukaan glovebox – dua untuk pemnumpang hadapan dan satu untuk pemandu. Cuma yang menghairankan, cuma ada satu soket 12V untuk MPV ini. Untuk memaksimakan ruang, daun pintu direka nipis dan ia tidak mampu untuk memuatkan sebarang botol minuman. Nasib baik ruangan tengan dashboard ada dua “cupholder” yang tersorok. Untuk penumpang belakang, setiap dinding tepi mampu memuatkan botol minuman dan pelbagai item lain.

Barisan ketiga juga mempunyai kajaibannya yang tersendiri. Tidak seperti Estima atau Honda Stream, kerusi barisan ketiga tidak boleh dilipat dan disimpan ke dalam lantai. Ia lebih kepada Toyota Alphard atau Innova, di mana barisan ketiga boleh dibahagi dua dan dilipat rapat ke tepi dinding. Jika kerusi barisan kedua ditolak santak rapat ke depan, anda mempunyai ruangan kargo yang besar, rata dan rendah yang mampu memuatkan tilam spring single. Malah, kami pernah memuatkan tiga tilam tersebut tanpa sebarang masalah.

Jika barisan ketiga digunakan untuk membawa penumpang, ruang kargo akan menjadi sedikit terhad. Tidak seperti Alphard atau Vellfire, kerusi barisan ketiga itu tidak mampu ditolak ke hadapan. Namun, seperti Toyota Estima, bahagian kargo dibelakang mempunyai lantai yang boleh dibuka dan “lubang” tersebut cukup luas untuk beberapa beg lembut (soft luggage). Sayang sekali harga “lubang praktikal” ini ialah ketiadaan tayar simpanan (spare tyre). Nissan memberikan kit penampal tayar bocor beserta dengan pam 12V yang disorok dibawah kerusi barisan kedua. Nasihat kami, baik belajar cara penggunaannya sebelum terlambat.

Nissan Serena S-Hybrid 2013-26

Setiap barisan penumpang lengkap dengan corong pendingan hawa yang mampu dikawal di siling tepi barisan kedua. Sistem audio memainkan DVD dan skrin LCD di belakang cukup kuas untuk semua penumpang di belakang.

Tingkap barisan kedua pula datang dengan langsir yang boleh disorok di bahagian bawah kulit pintu. Ini sebenarnya penting kerana tingkap Serena ini mungkin lebih besar dari tingkap rumah. Oleh itu, film tinting untuk tingkap boleh dikatakan aksesori wajib.

Nissan Serena S-Hybrid 2013-48

Enjin yang digunakan ialah enjin terbaru dari Nissan – MR20DD dengan sesaran 1,997cc dan sistem direct injection. Ia menghasilkan 145hp dan 210Nm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi CVT yang lengkap dengan sistem sejukan minyak (oil cooler).

Ciri hibrid yang diguna-pakai oleh Nissan sebenarnya sangat minimal. Serena ini datang dengan dua bateri di ruang enjin – satu ialah bateri 12V-27V-Ah untuk bantuan aksesori seperti di dalam kenderaan lain, dan satu lagi ialah bateri 12V-64V-Ah yang mempunyai kapasiti discaj yang tinggi untuk menyimpan tenaga elektrik yang dijana oleh motor elektrik Eco yang juga menjalankan fungsi alternator.

Nissan menyatakan motor eletrik Eco itu mampu menghasilkan 54Nm untuk membantu “meringankan” beban enjin ketika operasi. Bantuan ini yang akan mengurangkan penggunaan bahanapi.

Satu lagi fungsi bateri tambahan tersebut ialah untuk membekalkan tenaga kepada kipas pendingin hawa dan alatan elektrik yang lain ketika Serena ini dalam keadaan “start/stop”. Ciri di mana enjin berhenti secara automatik ketika kereta berhenti dan enjin hidup segera bila pendikit ditekan turun menyumbang kepada penjimatan bahanapi ketika pemanduan di dalam kawasan trafik yang sesak. Sayangnya, kompresor pendingin hawa tidak hidup lama ketika enjin dimatikan sebentar. Nasib baik juga ada butang untuk menutup pilihan mod start/stop ini.

Ujian kami mendapati Serena ini mampu memberikan pulangan antara 11 ke 12 kilometer untuk setiap liter dalam pemanduan harian di kawasan bandar. Di atas lebuhraya dengan muatan penuh, nilai tersebut kekal sama.

Ia mungkin tidak sejimat Toyota Prius tetapi perlu diingatkan Serena ini ialah sebuah MPV berpetak yang mempunyai kadar efisen aerodinamik yang mungkin baik sedikit dari rumah anda, dan ia boleh memuatkan sehingga lapan orang dewasa dengan selesanya, juga seperti rumah anda.

Selesa ialah satu perkataan yang paling sering kami dengar apabila kami membawa penumpang-penumpang baru menaiki Serena ini. Tingkap yang luas dan siling yang tinggi menyumbang kepada perasaan lapang dan pendingin hawa yang baik dengan cepat membuatkan semua merasa selesa, sangat selesa hinggakan tak sampai sejam, semuanya sudah mula berdengkur.

Nissan Serena S-Hybrid 2013-45

Sistem audio lengkap dengan pemain DVD dan sistem navigasi mudah untuk digunakan, dan dengan ciri USB, anda boleh sambungkan dengan pemacu hard disk untuk pilihan beratus-ratus filem.

Ujian paling getir dilakukan ialah bila kami memandunya dari Kuala Lumpur ke Krabi, Thailand dengan tujuh penumpang dan beg pakaian untuk seminggu.

Serena ini tiada masalah langsung dengan jarak perjalanan tersebut, dan pemanduan di atas lebuhraya kekal selesa dan tidak “terapung”. Stereng elektriknya telus dan tidak over-boosted seperti di dalam Grand Livina atau Almera. Penggunaan setangki minyak mampu membawa perjalan sejauh 550km. Mungkin lebih jika kami lebih berhati-hati dengan pendikit.

Sistem suspensi seperti mempunyai dua peranan – ia memberikan perjalanan yang empuk dan selesa, tetapi menjadi keras untuk menghalang Serena ini dari berayun-ayun ketika mengambil selekoh. Mungkin selekoh tidak boleh diterpa selaju sebuah kereta kerana kedudukan pusat graviti (CGi) Serena ini yang lebih tinggi tetapi pemandu yang berpengalaman akan faham cara yang terbaik untuk mengambil selekoh dengan kenderaan setinggi Serena – brek awal tanpa mengejutkan imbangan berat antara depan dan belakang, dan ambil selekoh paling “lurus” (straightest cornering line). Sebenarnya, ramai “kaki kereta” yang tak faham bagaimana hendak mengawal ubahan berat (load or weight transfer) di dalam kenderaan agar ia lebih stabil ketika mengambil selekoh. Kerana itu kelas pemanduan oleh pemandu profesional amat berguna dan menjadi pelaburan yang baik agar anda menjadi pemandu yang lebih selamat.

Serena ini juga tidak mempunyai masalah untuk mendaki jalan ke Genting Highlands. Ia naik terus tanpa sebarangan raungan ekstrim dari ruang enjin. Menuruni bukit dalam keadaan hujan memang menakutkan, tetapi Serena ini dilengkapi dengan fungsi “traction control” yang menjadikan ia lebih mudah dan selamat untuk dipandu.

Ciri keselamatan lain ialah dua beg udara di depan, ABS, EBD, cangkuk Isofix untuk kerusi barisan tengah dan beberapa fungsi lain.

Sangat praktikal dengan 14 kombinasi susunatur kerusi untuk memuatkan lapan penumpang dengan selesa, ruang kargo yang rata dan rendah, “lubang” simpanan barang untuk menambahkan lagi muatan barang dan enjin yang berkuasa dan menjimatkan, tiada sebab mengapa Serena S-Hybrid Highway Star ini tidak mampu menggembirakan sebuah keluarga.

Oleh kerana ia sebuah kenderaan hibrid, ia bebas dari cukai dan ini menjadikan harganya cuma RM149,500. Namun dengan pengumuman Polisi Automotif Nasional yang memberikan keistimewaan bebas cukai ini kepada kenderaan hibrid dan elektrik yang dipasang di dalam negara sahaja, harga Serena ini bakal melonjak naik, lebih kurang 30 peratus lebih tinggi.

ETCM menyatakan masih ada lagi unit-unit Serena dari stok lama, yang masih mengekalkan harga lama. Kepada yang berminat, mandi sekarang dan pandu ke pusat pameran Nissan segera!

Spesifikasi

Nissan Serena S-Hybrid

Enjin : MR20DD 1,997cc 4-silinder direct injection
Kuasa maksima : 145hp @ 5,600 rpm
Tork maksima : 210Nm @ 4,400 rpm
Transmisi : CVT dengan oil cooler
Ciri keselamatan : Dua beg udara, traction control, ABS, Isofix, dll
Harga : RM149,500 (harga sebelum NAP 2014) dengan waranti 3 tahun atau 100,000km

 

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

8 thoughts on “Pandu Uji: Nissan Serena S-Hybrid – Ruang Maksima Jadi Taruhan

  1. February 18, 2014, 6:04 pm

    pemanduan jauh dengan kereta ini sgt menyenangkan namun awas ia mampu mendodoi anda lalu terus bermimpi zzz

  2. February 18, 2014, 6:14 pm

    I like tis car

  3. February 19, 2014, 10:20 am

    Satu cdgn, buat shootout utk mpv di malaysia..serena, mazda8, previa, odc baru, exora..

  4. February 19, 2014, 2:50 pm

    Very good review. Good enough for Malaysian family to consider this model. Its not a luxury MPV at least its a new one, not 2nd hand from Japan.

  5. February 19, 2014, 4:19 pm

    Satu2 nyer Model yg sama taraf dgn serena di malaysia ialah Mazda Biante. Kerusi baris ketiganya boleh ditolak/gelongsor ke depan.

  6. Mohd Ridhwan Jaafar says:
    February 19, 2014, 7:28 pm

    Siap ade gambar pampers tuhhh..haha

  7. July 3, 2014, 6:06 pm

    Review yang baik…..mcm mana ngan Biante ade review yang agak complete dan menarik tak setakat nie?

  8. November 9, 2015, 10:44 pm

    Teringin nak memiliki kerana keluarga semakin besar…belum ade rezeki lagi…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>