Pandu Uji: Suzuki Kizashi Sport – Untuk Eksekutif Yang Sporti

Suzuki Kizashi 2011-1

Teks dan gambar oleh Hezeri Samsuri

SEBUT Suzuki dan imej hatchback popular mereka, Swift pasti terbayang di dalam fikiran. Sebenarnya, Suzuki mempunyai pelbagai lagi model yang ikonik. Antaranya ialah SUV lasak Jimny, Vitara, SX4, Alto dan seterusnya tetapi Kizashi ialah model pertama Suzuki yang direka untuk bertanding di dalam segmen sedan mewah.

Dari segi saiz, Kizashi sedikit unik kerana ia terletak di antara Segmen C dan D. Paling tepat, Kizashi ialah sebuah sedan segmen C+ kerana ia tidak cukup besar untuk menyaingi pesaing lain di dalam segmen D, seperti Toyota Camry atau Honda Accord.

Dari segi teknikal, Kizashi menggunakan enjin yang lebih sesuai untuk sedan Segmen D – enjin J24B 2.4-liter DOHC. Dengan kuasa kuda setinggi 176hp dan tork pada 230Nm, Kizashi bukan calang-calang sedan. Transmisi pula ialah CVT dengan enam kelajuan preset, bersedia digunakan dengan paddle shifters di balik roda stereng.

Suzuki Kizashi 2011-75

Suzuki menekankan pengendalian ala Eropah dengan Kizashi ini, tetapi dengan kelasakan, kualiti dan teknologi dari Jepun. Gabungan ini boleh dikatakan hampir sempurna. Siapa yang tidah berminat dengan kereta yang sedap dipandu seperti sebuah kereta Eropah tetapi dengan alatan mekanikal dari Jepun yang terbukti lasak dan jarang rosak?

Tetapi Suzuki pergi lebih jauh dari itu. Kemasan ruangan kabin diberikan sentuhan premium ala Eropah juga. Plastik berkualit tinggi dengan tona warna hitam nyata nampak mahal. Balutan kulit mewah juga dibuat dengan penelitian yang baik, hinggakan bau kulit mahal itu semerbak menerajang deria bau ketika masuk ke dalam kabin Kizashi ini.

Suzuki Kizashi 2011-46

Paparan meter ala klasik mudah dibaca ketika gelap sementara sistem audio enam pembesar suara dengan satu sub-woofer menghasilkan antara bunyi audio yang terbaik di dalam kelas Kizashi ini.

Dari luar, Kizashi variasi Sport memang nampak sempurna. Roda aloi “hyper-silver” bersaiz 18-inci, bodykit lengkap dengan spoiler nipis di belakang dan suspensi sport yang merendahkan sedikit Kizashi ini, tidak ada mata yang tidak memandangnya bila kami memandu Kizashi ini keliling bandar.

Di lebuhraya, Kizashi mampu meluncur laju tanpa banyak drama – bunyi angin dan tayar masih boleh diterima untuk sebuah sedan sporti sementara sistem suspensi tidak begitu keras. Namun bila diajak bermain di selekoh, sistem suspensi terus berubah mod dan bertukar menjadi set-up yang menarik untuk betul-betul memberikan pengendalian ala sedan yang sporti.

Tak puas dengan jalan negeri dari Kuala Lumpur ke Ipoh, penulis lantas membawa Kizashi ke trek lumba Dato’ Sagor di Kampung Gajah, Perak. Trek kecil yang direka untuk perlumbaan kaprix ini memang sangat teknikal tetapi mengujakan. Di sini, kuasa kuda yang tinggi tidak menjanjikan kemenangan. Apa yang penting untuk laju di trek ini ialah sistem brek dan suspensi yang baik.

Suzuki Kizashi 2011-21

Dengan Kizashi, olengan badan dikawal dengan baik dan brek juga masih bertahan selepas tiga pusingan. Apa yang buatkan penulis benar-benar teruja ialah sifat Kizashi yang sebenarnya lebih suka “oversteer” (roda belakang terkeluar dahulu, ala drift) dari “understeer” (tayar depan hilang grip dan menyasar ke depan), walaupun dengan traction control.

Namun “drift” yang dilakukan tidak lama. Bila ekor dirasakan sudah tersasar banyak, traction control akan masuk secara automatik mengawal kembali motor tersebut.

Suzuki Kizashi 2011-82

Bila traction control ditutup sepenuhnya, ekor menjadi lebih liar dan jika anda pemandu yang berpengalaman, anda boleh melakukan “drift” yang lebih panjang. Harus diingat, Kizashi ini ialah sedan pacuan roda depan (FWD), tapi masih mampu melakukan aksi oversteer kerana kerangka yang mantap dan sistem suspensi yang ditala untuk prestasi.

Namun begitu, bagi pemanduan santai seperti di bandar atau pemanduan jarak jauh di atas lebuhraya, Kizashi ini masih terasa selesa seperti sebuah sedan Segmen D mewah, walaupun tempat duduk belakang terasa sedikit memantul kerana tayar nipis dan spring yang keras. Tak melampau jika penulis mengatakan ia sememangnya mempunyai ciri-ciri Eropah yang sungguh ketara.

Penggunaan minyak pula memadai dengan enjin sebesar 2.4-liter, lebih kurang dalam 10L ke 11L/100km. Di atas lebuhraya, penggunaanya menurun sehingga ke 9L/100km.

Ruang but pula ialah sebesar 461 liter, kecil jika dibandingkan dengan kebanyakan sedan segmen C. Nyata Suzuki lebih mengutamakan rekabentuk dan prestasi semasa menghasilkan Kizashi ini.

Ciri keselamatan turut moden. Peralatan standard termasuk beg udara hadapan, sisi dan airbag curtain (beg udara langsir?), ESP (termasuk traction control), ABS, EBD, BA, poin Isofix dan Hill Hold Control untuk mereka yang sering memandu di kawasan berbukit (memastikan kereta tidak menggelungsur ke belakang).

Seimbang dari segi pemanduan, keselesaan dan rekabentuk yang modern, Kizashi memang unik dan mempunyai kekuatan dari segi prestasi untuk memberikan keriangan pemanduan.

Spesifikasi

Suzuki Kizashi Sport

Enjin : J24B 2,393cc DOHC 16-valve MPI
Kuasa maksima : 176hp @ 6,500 rpm
Tork maksima : 230Nm @ 4,000 rpm
Transmisi : CVT dengan 6-kelajuan preset
Ciri keselamatan : Dua beg udara depan, dua beg udara sisi dan dua beg udara curtain, ABS, EBD, ESP. Hill Hold Control, dll
Harga : RM158,188 (OTR)

*Suzuki mempunyai pakej tawaran hebat untuk model Kizashi. Hubungi Suzuki Automobile Malaysia untuk info lanjut: info@suzuki.net.my atau talian bebas tol 1-300-88-6699 atau Facebook Suzuki Malaysia di www.facebook.com/SuzukiMalaysia

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>