Pandu Uji Toyota Altis 2.0V 2014 – Sedan bandar terbaik!

Altis

Teks dan gambar oleh Eddie “Doyok” Syaziman

Semasa bertemu dengan staf bahagian pemasaran UMW Toyota Sdn Bhd untuk mengambil Altis baru ini, penulis ada berborak mengenai spesifikasi dan gaya kenderaan yang baru dilancarkan awal tahun 2014 ini. Di penghujungnya, staf berkenaan menyatakan,”saya suka kereta ini. Pemanduannya jauh lebih baik. Tak tahulah pula untuk awak macam mana.”

Walaupun mempercayai kata-katanya, beliau tetap adalah seorang pekerja UMW Toyota sendiri dan pertimbangannya mungkin diragui.

Tetapi selepas memandu keluar dari kawasan pejabat mereka, baru penulis dapat merasakannya sendiri. Kualiti pemanduan kenderaan ini sememangnya lebih baik, terutamanya ciri penyerapan bunyi dan hentakan suspensi. Memasuki bulatan di Shah Alam yang dipasang dengan permukaan jalan bongkah batu, penulis dapat merasakan tidak banyak gegaran dirasa pada bahagian dalam kenderaan.

Sudah tentu, ini adalah kenderaan baru dan semua getah-getahnya masih ‘ketat’ tetapi ia dapat dirasakan jelas, hanya bagi orang yang pernah memandunya. Tahap kebisingan ini adalah antara bahagian yang diambil kira oleh Toyota semasa pembangunan Altis ini. Bahan penyerap bunyi diletakkan pada bahagian tertentu bagi menghasilkan pemanduan yang lebih senyap, malah cermin hadapannya juga adalah istimewa, digelar ‘Acoustic Glass’.

IMG_0490

Melihat kepada penampilan Altis ini, ia boleh dikatakan setanding dengan pesaingnya, jika tidak lebih. Semakin lama dilihat, anda boleh nampak makin banyak usaha yang diletakkan oleh perekanya.

Sebagai contoh, lihat gril hadapannya. Tiga garisan yang ada bersambung sehingga ke bahagian dalam lampu dan turun ke bawah, ia bersambung dengan bampar. Bukan setakat lebih moden, sedan Toyota ini juga nampak lebih mewah, hampir seperti sebuah Lexus.

Model pandu uji ini adalah varian 2.0V dan ia telah dilengkapi dengan semua aksesori tambahan paling lengkap. Sebab itu, anda dapat melihat ia dipasang dengan kit ‘aero’ pada segenap bahagian (bampar hadapan, tepi, bampar belakang dan penghadang angin belakang). Tetapi, penulis masih belum dapat menerima rekaan rim 17 inci sebegitu. Ditambah lagi dengan padanan warna hitam dan krom, ia nampak seperti rim yang boleh dibeli di kedai aksesori biasa.

Selain itu, rekaan Altis baru yang lebih menarik dan moden ini juga boleh ‘membelah angin’ dengan lebih baik. Rekaan yang anda lihat ini bukan setakat gaya tetapi mempunyai fungsinya. Perhatikan pada bahagian tepi lampu belakang dan cermin sisi, anda akan dapat melihat ‘sirip’ yang direka untuk meningkatkan ciri aerodinamik.

Dua hari pertama memandu Altis di dalam bandar, penulis bagaikan dapat menghargai kereta ini. Selain penyerapan hentakan dan serapan bunyi yang baik, tindak balas stereng elektroniknya juga menjadikan pemanduan lebih mudah.

IMG_0526

Tambahan pula, enjin 1,987cc yang terletak di bawah hudnya digabungkan dengan transmisi CVT yang sememangnya terkenal dengan kelancarannya. Walaupun begitu, Toyota cuba menambahkan sedikit keseronokan bagi pengguna transmisi CVT dengan menghasilkan tujuh gear maya yang boleh dikawal sama ada melalui pedal penukar di belakang stereng mahupun menggunakan tombol gear sendiri.

Apabila menaikkan gear, penukarannya masih dirasa lancar dan tidak begitu menyentak, tetapi apabila menurunkan gear, ia tidak terasa seperti sebuah kotak gear CVT. Anda boleh menggunakan gear maya ini untuk memperlahankan kenderaan dengan jaya dan pengurangan kuasanya dapat dirasa jelas, hampir seperti kotak gear automatik biasa. Bagi yang gemar memandu agresif, ini pasti dihargai.

Kenderaan ini juga boleh dibawa berseronok di selekoh kerana suspensinya agak meyakinkan. Walaupun menggunakan ‘torsion beam’ di belakang (bukannya ‘independent’), kenderaan masih lagi stabil dan bagi varian 2.0V ini, ia dilengkapi dengan ‘Vehicle Stability Control’ (VSC) serta ‘Traction Control’ (TC).

Memasuki lebuh raya yang lebih terbuka, penulis cuba mencapai kelajuan lebih tinggi. Dari segi kuasa, ternyata ia tidak bermasalah untuk menyebabkan anda mendapat saman. Tetapi, penulis sendiri menjadi kurang yakin apabila mencapai tahap lebih daripada 160km/j. Sterengnya terasa ringan dan sensitif. Jika tindak balasnya lebih berat, pasti kenderaan ini lebih menenangkan pada kelajuan tinggi.

IMG_0534

Altis generasi ke 11 ini tidak hanya dinaik taraf dari segi penampilan dan ciri malah strukturnya juga diberi penambah baikan. Selain lebih panjang dan rendah, jarak rodanya turut ditambah, sekaligus membuatkan ruang dalam lebih luas. Jadi, bagi penumpang belakang, ia adalah selesa dan mencukupi untuk tiga orang dewasa.

Bagi yang berada di hadapan, anda akan dapat menikmati suasana moden dan premium melihat kepada rekaan dan bahan yang digunakan. Walaupun pada Vios baru Toyota menggunakan plastik yang kelihatan seperti kulit, berserta dengan jahitannya, Altis ini pula menggunakan bahan lebih lembut. Jadi, mereka yang suka sangat memicit-micit papan pemuka, puaskanlah hati anda.

IMG_0542

Jika ada pun bahagian yang perlu dibaiki, penulis rasakan butang yang terdapat pada stereng tersebut sepatutnya direka lebih baik. Ia terlalu ringkas dan seperti tidak sekata dengan rekaan lain yang lebih moden.

Toyota Altis baru ini ditawarkan dalam tiga varian; 1.8E, 2.0G dan 2.0V dengan harga masing-masing RM114,000, RM123,000 dan RM136,000. Kesemuanya datang dengan sistem keselamatan ABS, EBD, BA dan dua beg udara di hadapan. Bagi pemilik varian 2.0V, kenderaan mereka dilengkapi dengan alatan “traction control” VSC serta TRC dan jika mahu, pemilik boleh menambah RM3,900 untuk maniak-taraf jumlah beg udara dari dua ke tujuh.

Ini ialah pertama kali sebuah syarikat kenderaan memberikan pilihan tambahan berbayar untuk menambah jumlah beg udara. Mungkin suatu hari nanti Toyota akan sedar dari lamunannya dan bangkit lalu terus memberikan beg udara yang lebih sebagai tanda prihatin terhadap keselamatan pelanggannya. Buat masa sekarang, keselamatan yang lebih baik ialah satu penambahan kos.

Apa pun, kebebasan memilih tetap wujud dan Altis baru memang untuk mereka yang mahukan sesuatu yang sporti tetapi selesa dan mampu menjalar tegap di lebuhraya selagi halaju dikekalkan pada 110kmj.

Spesifikasi

Toyota Corolla Altis 2.0V

Enjin : 3ZR-FE, 1,987cc, 16 injap DOHC Dual VVT-i
Kuasa maksima : 143hp @ 6,200 rpm
Tork maksima : 187Nm @ 3,600 rpm
Transmisi : Automatik CVT dengan ‘Sports Sequential Shift’ tujuh kelajuan
Berat kasar : 1,300kg
Ciri keselamatan : Dua beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, TRC
Harga : RM136,000 (dengan insurans di Semenanjung Malaysia)
Warranti : 3-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu)
Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

2 thoughts on “Pandu Uji Toyota Altis 2.0V 2014 – Sedan bandar terbaik!

  1. July 16, 2016, 2:12 pm

    I’m grfaetul you made the post. It’s cleared the air for me.

  2. October 23, 2016, 12:08 am

    Lieve luitjes, we hebben onze (kleinzoon Indy)op de foto’s bewonderd. Wat een schatje, hij is welkom in de Schriever – Philippo familie.Opa Wim en Oma Geertje Philippo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>