Pandu Uji: Toyota Vios TRD Sportivo – Vios santai tapi bergaya

Vios

Teks dan gambar oleh Hezeri Samsuri

NAMA Vios cukup sinonim dengan masyarakat Asia. Mana tidaknya kerana Toyota Vios ialah Proton Saga untuk kebanyakan negara-negara Asia. Ia merupakan sedan paling mampu milik di dalam banyak pasaran tersebut.

Di negara kita, Vios mendapat status yang lebih tinggi kerana harganya yang sedikit premium. Ia juga merupakan produk Toyota, dan semua sedia maklum produk dari negara Jepun tersebut terkenal dengan ketahanan dan penggunaan bahan bakar yang rendah. Cukup popular hinggakan ia dinobat sebagai sedan paling popular di dalam negara sejak ia diperkenalkan (segmen bukan nasional). UMW Toyota memperkenalkan Vios generasi ketiga dua bulan yang lalu dan dari segi fizikal, nyata Vios terbaharu ini lebih dinamik.

Rekabentuk yang menggunakan konsep “Keel Design” yang mengutamakan garisan-garisan memanjang yang lebih garang dan cerun-cerun tajam yang lebih aerodinamik, Vios generasi ketiga berjaya keluar dari kepompong rekabentuk bujur telur terdahulu.
Lampu-lampu depan dan belakang lebih bergaya dan menggunakan teknologi lensa yang lebih baik untuk tumpuan cahaya yang lebih padat. Bahagian depan terutamanya nampak lebih mencuram, walaupun pada hakikatnya ia tidak serendah model yang terdahulu.

Gril depan lebih bersegi dan lebih garang, sesuai dengan citarasa zaman sekarang. Ia menjadikan model-model setandingnya nampak kuno dan lapuk.

02-Toyota Vios 2013-7

Dari bahagian sisi, rekabentuk Vios lebih seimbang di mana bahagian depan dan belakang nampak sama “berat”. Ruang antara badan dan tayar juga dikurangkan, menambahkan lagi ciri sporti Vios ini.

Untuk versi TRD Sportivo, UMW Toyota menambah bodykit dari gentian kepada bamper depan dan belakang. Bodykit depan siap dengan lampu Daytime Running Light jenis LED yang terang sementara bamper belakang mendapat bodykit yang lebih agresif siap dengan lampu kabus merah.

Toyota tidak berhenti di bodykit sahaja. TRD Sportivo benar-benar dijadikan pakej terlengkap Vios ini dengan tambahan lampu projektor yang digelapkan (smoked), spoiler atas but, gril krom gelap, bahagian kabin berwarna hitam dengan meter kombo sport, roda stereng bersalut kulit dengan jahitan benang merah, paparan info LCD, tuil gear bersalut kulit dan logo-logo TRD Sportivo yang dilekatkan di beberapa bahagian kenderaan. Roda aloi bersaiz 15-inci pula berbeza corak dengan varian lain Vios tetapi saiz tetap sama.

17-Toyota Vios 2013-040

Dari segi teknikal, enjin 1.5-liter 1NZ-FE ini tetap sama dengan Vios generasi ketiga. Malah, kotak gear automatik dan manual yang diguna pakai masih lagi sama. Ia umpama Proton Saga FLX yang menggunakan enjin Mitsubishi Orion dari zaman 80-an. Tapi perlu diingatkan, enjin 1.5-liter Toyota tersebut terbukti lasak dan penggunaan minyak juga nyata menjimatkan. Mungkin kerana piawaian asap kenderaan kita yang tidak begitu berbeza dari dulu dan sekarang membolehkan syarikat kenderaan mengekalkan enjin-enjin lama untuk model terbaru mereka.

Dari segi keselamatan, Vios masih menggunakan input yang sama seperti sebelumnya – dua beg udara, brek ABS dan EB. Tiada traction control (kawalan kenderaan) diberikan walaupun sebagai option berbayar.

Di sini, Toyota sebagai peneraju di dalam kenderaan segmen B patut lebih proaktif di dalam memperkenalkan alatan keselamatan yang lebih moden seperti traction control dan beg-beg udara yang lebih banyak pada kenderaan mereka walaupun kajian mendapati pasaran tidak begitu menghargai alatan keselamatan.

Tindakan nilai moral sebegitu akan meningkatkan lagi jenama Toyota di pasaran.

Pemanduan Vios lebih selesa dari model terdahulu. Kabinnya lebih senyap dan selesa, terima kasih kepada tambahan bahan pengedap bunyi pada kotak gear dan cermin hadapan yang menggunaan cermin jenis akustik untuk memastikan pengurangan gegaran dan bising dari masuk ke kabin.

Pengedalian Vios masih sama, mungkin ada sedikit perubahan yang positif pada stereng di mana ia lebih telus dan lebih responsif tapi perbezaannya tidak begitu ketara.

07-Toyota Vios 2013-21

Untuk versi automatik yang dipandu uji oleh penulis, kotak gear empat kelajuan sudah memadai untuk enjin sebesar ini. Paling penting, tidak berlaku sentapan tukaran gear (shift shock) yang melampau kerana cuma ada empat nisbah gear yang wujud. Perbandingan dengan model selepasnya mendapati Vios baharu lebih lancar pemanduannya dan setiap kali pedal pendikit ditekan, ia tidak akan menyebabkan kotak gear menurunkan gear secara tiba-tiba. Ia lebih matang dan ini menjadikan ia lebih selesa. Penulis syak pemetaan pendikit dan talaan baru yang dilakukan memberikan tumpuan lebih kepada tork di julat pertengahan (mid range torque) dan ini menyebabkan enjin tidak perlu “ditarik” pada RPM tinggi untuk mendapat kuasa maksimum.

Dari pengalaman penulis, untuk mereka yang mahukan prestasi pemanduan yang lebih agresif, Vios manual lebih menyeronokkan tetapi sistem suspensi dan brek perlu dibaik pulih.

14-Toyota Vios 2013-33

Ruang dalam merupakan kelebihan utama Vios generasi ketiga ini. Ruang instrumen kini diletakkan kembali di belakang roda stereng sementara untuk yang mengambil pilihan aksesori tambahan sistem navigasi dengan papan pemuka sesentuh, skrin tersebut diletakkan di atas papan pemuka seperti sebuah pod i-Pad lengkap dengan corong pendingin hawa. Cukup cantik dan mengingatkan penulis kepada papan pemuka Mercedes-Benz A-Class terkini.

Untuk TRD Sportivo, kerusi dibalut kulit hitam dengan jahitan merah sisi, nampak garang dan menarik.

Sekali imbas, pasti ramai yang menyangka papan pemuka Vios ini turut dibaluti kulit kerana jahitan-jahitan benang di tepinya. Sebenarnya, papan pemuka Vios masih menggunakan plastik keras tetapi Toyota menunjukkan kepakaran mereka bermain dengan plastik dengan membuat jahitan tepi palsu itu. Ia dibuat dengan cermat dan sambungan pada panel masih kemas dan nampak bersambung. Untuk sebuah sedan entry level, permainan plastik yang digunakan cukup hebat. Namun bila disentuh, kehebatan itu mungkin hilang dan diganti dengan cemuhan pula!

16-Toyota Vios 2013-35

Ruang kaki untuk penumpang depan dan belakang lebih besar dan ruang lega kepala juga lebih tinggi. Memang terbukti Vios terbaharu mempunyai lebih ruang untuk mengisi lima orang penumpang dewasa bersaiz sederhana. Cukup lengkap sebagai kereta keluarga.

Ruang letak barang atau but pula ialah sebesar 506 liter (lebih kurang sebesar but Proton Waja). Ini pasti menggembirakan para ibubapa yang berkira-kira untuk menjadikan Vios ini sebagai Toyota pertama mereka.

Secara keseluruhan, Vios baru memang lebih baik dari yang sebelumnya. Lebih selesa, lebih besar dan menggunakan enjin dan kotak gear yang terbukti ketahanan dan penjimatannya, pasti ramai yang semakin yakin dengan Vios ini.

Untuk yang mahukan pakej TRD Sportivo ini, perlu diingatkan bahawa pakej ini lebih kepada elemen luaran yang lebih sporti dan cantik. Tiada penambah-baikan dari segi teknikal atau dari segi keselamatan, malah spring kit TRD juga tidak diberikan.

Harga RM92,300 sebenarnya amat tinggi untuk sebuah sedan Segmen B seperti Vios TRD Sportivo ini yang tidak didatangkan dengan traction control dan jumlah beg udara yang kekal dengan dua sahaja, tetapi jika anda betul-betul mahukan Vios 2014 ini lebih canggih dari Vios jiran anda, mungkin pakej mahal ini berbaloi. – Hezeri Samsuri

SPESIFIKASI

Toyota Vios TRD Sportivo

Enjin : 1NZ-FE 1,497cc 16-injap DOHC VVT-i
Kuasa maksima : 107hp @ 6,000 rpm
Tork maksima : 141Nm @ 4,200 rpm
Transmisi : 4 kelajuan auto
Berat kasar : 1,095kg
Ciri keselamatan : Dua beg udara, ABS, EBD, BA, bamper dan badan besi
Harga : RM92,300 (pakej TRD Sportivo)
Warranti : 3-tahun atau 100,000km (yang mana dahulu)
Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

5 thoughts on “Pandu Uji: Toyota Vios TRD Sportivo – Vios santai tapi bergaya

  1. February 6, 2014, 2:42 pm

    “jika anda betul-betul mahukan Vios 2014 ini lebih canggih dari Vios jiran anda, mungkin pakej mahal ini berbaloi”

    Mendalam betul ayat ni….

  2. February 7, 2014, 6:59 am

    Saya telah memandu uji Vios ini, ternyata ianya menjadi buruan racer berani mati Persona dan Myvi.
    Untung sabut timbul untung batu tenggelam, bersabarlah..

  3. February 13, 2014, 5:02 pm

    dah mcm isnpira premium je rege,…tp segmen lain…seluk poket, kira duit…

  4. September 26, 2014, 5:31 am

    You share interesting things here. I think that your blog
    can go viral easily, but you must give it initial boost and i know how to do
    it, just type in google for – wcnu traffic increase

  5. October 25, 2017, 12:24 pm

    Alhamdulillah telah memilik Vios TRD Sportivo…sangat2 berbaloi dengan harganya…minyak jimat dan byk lh kelebihannya,jauh sekali bezanya jika dibandingkn kereta dahulu ( brand Lain)….apa2 kereta lama tetap di kenang dan bjasa pada kami sekeluarga…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>