Tunggang Uji: Kawasaki W 800 – Gaya retro hidup kembali

MAIN PIC

Teks dan gambar oleh Eddie “Doyok” Syaziman

Pernah sekali penulis bersembang dengan seorang pemuda berusia sekitar lewat 40-an berkenaan motosikal yang beliau miliki.

“Dari dulu memang kebanyakan masa abang naik motor. Sekarang abang pakai FZ150 ni hari-hari untuk ulang-alik ke tempat kerja. Tapi setiap dua minggu sekali, abang perlu jenguk mak di Kedah. Jadi, abang belilah sebuah lagi motosikal berkuasa besar.”

“Orang lama, macam mana pun mesti nak gaya lama juga. Sebab itulah abang beli CB400. Selain prestasi enjin dia, abang suka gaya dia yang tak banyak berubah. Masih seperti model lama dulu.”

Begitulah pendapat seorang pemuda yang menggelarkan dirinya Abang Man. Walaupun dia bercerita tentang model Honda tetapi menunjukkan bahawa motosikal bersifat retro tetap mempunyai peminatnya. Apatah lagi, sekarang ini sudah terdapat banyak model-model retro yang dihidupkan kembali dan disuntik dengan sedikit teknologi moden seperti Triumph Bonneville, Moto Guzzi V7, Royal Enfield Bullet dan bermacam lagi.

kawa-800-3

Tidak ketinggalan adalah model Kawasaki yang dinamakan sebagai W800 ini. Ia adalah penyambung generasi kepada model W1 yang dipasarkan sejak tahun 1965 dan seterusnya W650. Binaannya nampak tegap. Dari sudut mana pun anda melihatnya, anda akan nampak banyak bahagian yang menggunakan besi seperti motosikal lama zaman dahulu. Dari bahagian tangki, penghadang lumpur, cermin sisi dan perumah lampu, semuanya besi. Bukan setakat itu, bahagian-bahagian lain turut direka dengan teliti untuk menghasilkan gaya yang bersesuaian. Ia bagaikan satu kerja seni yang dihargai oleh peminat motosikal seperti ini.

Penulis sendiri tanpa disedari duduk mencangkung melihat motosikal ini dalam waktu yang panjang untuk meneliti kerja pengeluar Jepun ternama ini semasa berhenti rehat dalam satu perjalanan ke Genting Highlands. Melihat bahagian enjinnya sahaja sudah membuatkan penulis kagum. Ini adalah rekaan enjin klasik dua silinder ‘Vertical Twin’ (juga dikenali sebagai parallel Twin dan beberapa nama lain).

Pada bahagian sisi kanan enjin, anda akan melihat satu batang yang menghubungkan bahagian atas dan bawah enjin. Ini adalah syaf yang menggerakkan bahagian ‘cam’.

Asalnya, susun atur enjin jenis ini akan menyebabkan banyak getaran tetapi Kawasaki telah menambah baik rekaannya. Masih ada gegaran dapat dirasa untuk menyesuaikannya dengan identiti klasik tetapi tidak ‘menyakitkan’.

kawa-800-6

Selain itu, sistem karburetor juga tidak lagi digunakan dan diganti dengan sistem suntikan bahan api bagi menjadikan enjin ini lebih cekap dan mesra alam. Jelas sekali, W800 bukanlah sebuah motosikal sport. Walaubagaimanapun, penulis dapat menjamin penunggang akan menikmati tunggangan yang unik melalui motosikal ini. Sama seperti pengalaman penulis menaiki Genting Highlands. Biasanya penulis tertumpu kepada selekoh-selekoh yang ada tetapi menunggang motosikal ini perasaannya berlainan. Apa sahaja motosikal yang memintas laju penulis biarkan tanpa sebarang rasa dan lebih menikmati angin dingin serta pemandangan sambil menggunakan gear 4 dan 5 mendaki bukit.

Apatah lagi, pengendalian motosikal ini adalah mudah dengan kedudukan tegak manakala tempat duduk yang empuk pula memberikan lebih keselesaan sampai membuatkan penulis kadang kala berenjut-enjut di atas tempat duduk tersebut. Penyampaian kuasa W800 juga adalah lancar. Anda tidak akan mendapat tarikan yang menaikkan keterujaan adrenalin tetapi ia tetap mampu memotong dan mendaki dengan mudah.

Walaupun dengan semua ciri yang dinyatakan tadi, W800 kedengaran seperti sebuah motosikal yang lebih ke arah keselesaan, ia tetap masih boleh mengambil selekoh pada kelajuan berpatutan yang memuaskan. Tetapi apa yang jelas, motosikal ini bukanlah untuk mereka yang gilakan kelajuan maksimum tetapi lebih kepada untuk mereka yang ingin menikmati tunggangan santai dalam gaya yang tidak akan lapuk dek zaman.

SPESIFIKASI

Kawasaki W800

Enjin : 773cc, empat strok, dua silinder, penyejukan udara
Transmisi : Lima kelajuan, klac basah, pacuan rantai
Kuasa maksimum : 47hp @ 6,500rpm
Tork maksimum : 60Nm @ 2,500rpm
Berat : 217kg
Brek hadapan : Cakera tunggal 300mm, angkup dua piston
Brek belakang : Dram 160mm
Suspensi hadapan : Fork 39mm teleskopik
Suspensi belakang : Penyerap berkembar, larasan spring lima tahap
Kapasiti tangki : 14 liter
Harga : RM58,900
Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

Comments on “Tunggang Uji: Kawasaki W 800 – Gaya retro hidup kembali

  1. September 12, 2014, 2:49 am

    I read a lot of interesting content here.
    Probably you spend a lot of time writing, i know how to save you a lot of work, there is an online tool that creates high quality, google
    friendly articles in minutes, just search in google – laranitas free content source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>