Vol 2: Kes subsidi – Hijau penanda kecekapan

Green Car

Sebelum kita bercakap tentang kecekapan, kita memerlukan kayu pengukur.

Alam semulajadi tidak membazir, tidak ada sebutir makanan yang terbuang selepas sang harimau membaham rusa kerana saki bakinya dimakan oleh serigala, serangga, ulat ulat dan akhir sekali pelbagai jenis bakteria.

Sorakan setiap slogan pemasaran hari ini mempunyai sedikit sebanyak mesej mesra alam, samada dari segi penjimatan penggunaan bahanapi, sumber asli mahupun keupayaan sesuatu benda diserap semula oleh alam semulajadi setelah tamat hayatgunanya.

Waima Polisi Automotif Nasional kita pun melaungkan slogan mesra alam dan menyatakan keinginan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi hijau serantau. Tapi adakah ini satu impian yang mampu kita capai?

Pada dasarnya NAP ingin menarik minat pengeluar kenderaan berteknologi hijau melalui insentif kewangan yang diberi dalam bentuk pelepasan cukai, dalam kata lain rakyat Malaysia diminta memberi subsidi kepada syarikat antarabangsa untuk menghasilkan produk hijau di sini.

Pada masa kini kebanyakkan kenderaan berunsur teknologi hijau memerlukan dorongan dan bantuan kerajaan untuk mendapat tempat di pasaran tak kira lah samada di Jepun, Eropah, Amerika Syarikat mahupun Malaysia.

Ini satu keadaan yang aneh kerana jika sesuatu produk itu hijau dan mampu mengurangkan pembaziran, sudah tentu ianya mampu menghasilkan penjimatan untuk pemilik. Jadi mengapa perlu diberi subsidi dan insentif?

Keadaan ini berlaku kerana minda kita masih belum hijau dan kita kerap teragak agak untuk alah membeli demi menang memakai.

Dalam bidang elektronik janji penjimatan telah lama dibuat oleh pengeluar lampu, penyaman udara dan juga peralatan lain namun masih ramai dari kita yang memilih untuk membuat penjimatan ketika membeli kerana kita percaya dapat berjimat cermat ketika mengguna.

Di Eropah, undang undang terpaksa diluluskan untuk memaksa isirumah menggunakan mentol yang kurang menggunakan elektrik sebelum ianya menjadi satu kebiasaan. Kalau kita biasa membuat perbezaan harga antara mentol biasa dan mentol penjimat tenaga kita tahu bahawa bezanya adalah sekali ganda ataupun lebih.

JIka dikira penggunaan elektrik sepanjang hayat mentol tersebut, selalunya kita boleh dapati bahawa nilai ringgit penjimatan tenaga adalah berlipat ganda lebih banyak dari perbezaan harga mentol. Namun begitu, di Eropah yang kita anggap lebih peka terhadap isu alam sekitar pun rakyatnya perlu dipaksa membeli lampu teknologi hijau.

Apatah lagi di Malaysia yang masih menikmati harga minyak antara yang terendah di dunia, mungkinkah kita dapat menilai kelebihan memiliki kenderaan berteknologi hijau?

Sekiranya kerajaan serius tentang penggunaan kenderaan hijau di Malaysia dan menarik minat pengeluar kereta, kita perlu memikirkan bagaimana kita mahu mengubah cara penggunaan tenaga negara pada masa depan.

Satu halatuju tenaga nasional (National Energy Roadmap) wajib dihasilkan kerana dalam penghasilan dokumen ini, kita terpaksa berfikir secara terperinci apakah keperluan tenaga nasional dalam tempoh 20, 30 50 atau 100 tahun akan datang dan bagaimana cara kita dapat memenuhi keperluan tersebut dengan cara yang paling menguntungkan Negara.

Sebagai contoh, dengan simpanan minyak yang semakin berkurangan, kita dijangka menjadi pengimpot bersih bahanapi ini dalam masa terdekat, jadi adalah elok sekiranya kita memikirkan cara untuk mengurangkan gantungan Negara kepada sumber tenaga tersebut.

Halatuju tenaga nasional ini mampu menjadi petunjuk ke arah sumber tenaga yang bakal menjadi harapan utama Negara, samada ianya geothermal, hydro, angin, solar mahupun ombak ataupun teknologi lain.

Setelah kita membuat keputusan tentang penggunaan tenaga, bolehlah kita hasilkan satu strategi untuk pengurangan penggunaan sesuatu sumber tenaga dan beralih kepada sumber lain tanpa membebankan rakyat.

Sekiranya kita tahu bahawa dalam tempoh 20 tahun , 20 peratus sumber tenaga beralih dari minyak ke kuasa elektrik melalui solar hydro dan geothermal dan ini sudah tentu memerlukan sejumlah kenderaan di Negara ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya ataupun sebagai plug-in hybrid ataupun plug-in range extender.

Dengan maklumat ini kita boleh merancang bagaimana peralehan ini boleh mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan Negara melalui penjimatan kewangan.

Pendekatan yang serius ini akan menarik minat syarikat kereta kerana mereka akan dapat merancang dengan yakin keperluan kenderaan hijau negara dan boleh menjadikan Malaysia sebagai hab yang mampan kerana halatuju tenaga juga akan melakarkan keperluan teknologi Negara.

Ekonomi yang menuju kearah elektrik sudah tentu akan cuba menghasilkan ataupun menarik teknologi yang sesuai, maka ini dengan sendirinya akan menjadikan Malaysia satu destinasi pelaburan yang menarik, bukan kerana pelepasan cukai, tetapi kerana teknologi yang dimiliki.

Sudah tentu ini adalah cara yang lebih lumayan untuk menarik minat syarikat pengeluar kenderaan hijau. Perkongsian teknologi dan usaha kajian dan pembangunan akan membolehkan Malaysia berkongsi keuntungan dan kepakaran dengan mereka dan kita tidak sekadar menjadi sumber subsidi untuk syarikat luar yang sudah cukup gergasi untuk bersaing tanpa bantuan.

Jika kerajaan serius dalam menganjakkan mentaliti subsidi, mereka sepatutnya memulakan usaha dengan pengurangan subsidi kepada multinasional dan bukan sekadar mengurangkan subsidi kepada rakyat. Siapa yang lebih memerlukan subsidi, syarikat gergasi ataupun rakyat yang kerdil?

Jadilah hijau, kurangkanlah subsidi, tingkatkan teknologi. – Shamsul Yunos

*Shamsul Yunos merupakan salah seorang penulis permotoran yang paling berpengalaman di dalam negara ini. Memulakan karier beliau bersama Malay Mail, dan kemudian menjadi News Editor untuk sisipan Cars Bikes and Trucks di The New Sunday Times (sebelum digantikan oleh Hezeri Samsuri) dan kini beliau menjadi penulis bebas atau freelancer di beberapa laman web (antaranya, http://funtasticko.net) dan menghasilkan skrip untuk production house. Beliau juga memberikan perkhidmatan copy writing kepada beberapa badan kerajaan dan swasta. Shamsul Yunos juga yang bertanggung-jawab memperkenalkan Hezeri Samsuri ke dunia penulisan permotoran, 15 tahun dahulu.

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

Comments on “Vol 2: Kes subsidi – Hijau penanda kecekapan

  1. March 4, 2014, 9:15 am

    sy menyahut seruan kereta hijau ini, alangkah memberi inspirasi sekiranya kereta² jabatan kerajaan juga hijau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>