Pandu Uji: Suzuki Swift 1.4 GLX VVT – Tidak semahal yang anda sangka

01-Suzuki Swift 14-1

Teks dan gambar oleh Hezeri Samsuri

RAMAI yang menyangka Suzuki Swift versi terbaru ini diluar jangkauan.

Sebenarnya, Swift baru ini tidak terlalu beza dari segi harga dengan kenderaan buatan tempatan. Rekabentuk masih digarap mengikut stailing versi terdahulu, dan sekali imbas kita sudah tahu ini model Swift. Mungkin kerana bentuknya yang ikonik maka Suzuki tidak mahu lari terlalu jauh dari konsep asal.

Model paling popular Suzuki ini datang dengan hanya satu pilihan enjin dan transmisi – enjin K14B dengan sesaran 1.4-liter. Tenaga yang terhasil sedikit menurun berbanding model Swift lama dengan enjin M15A 1.5-liter tetapi tidak banyak, dari 99hp turun ke 94hp.

08-Suzuki Swift 14-14

Apa yang meningkatkan ialah kecekapan penggunaan bahanapi. Kami memandu Swift ini di dalam kawasan bandar dan dengan mudah mendapat 5.5L/100km. Jika panduan dilakukan mengikut halaju kebangsaan, jumlah tersebut menjadi 5.3L/100km – jauh lebih baik dari Swift model lama yang menggunakan lebih kurang 6.5L/100km.

Selain dari penggunaan bahanapi yang lebih rendah, Suzuki masih memastikan keseronokan pemanduan dikekalkan.

Suspensi McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang memberikan daya pengambilan selekoh yang cukup mantap. Stereng terasa “berat” dan memberikan keyakinan untuk mengambil selekoh tajam sementara brake balance atau imbangan brek juga sangat seimbang. Penulis cuma melakukan lift-off oversteer (angkat pedal minyak dan goyangkan stereng agar ekor menjadi ringan dan keluar) tetapi Swift ini menidakkan tindakan itu dengan mudah dan pantas.

Sayang sekali kerana torsion beam dibelakang, ekor akan menjadi sedikit liar dan melompat-lompat bila jalan sedikit tidak rata. Apapun, Swift ini mengambil selekoh jauh lebih baik dari Perodua Myvi atau Toyota Prius C Hybrid.

Di atas lebuhraya, penulis mencuba untuk memandu laju tetapi stereng dirasakan menjadi terlebih ringan pada kelajuan yang sangat tinggi. Mungkin tekanan udara tayar terlalu tinggi tetapi masalah begini memang telah dijangka untuk sebuah kereta bandar seperti Swift.

2-Suzuki Swift 14-9

Transmisi automatik 4-kelajuan memadai dan tidak terasa mempunyai kekurangan. Satu sifat Swift ialah enjinnya senang dipaksa ligat untuk bermain. Jika pemanduan agresif seperti begitu yang dilakukan, gear 4 dan 3 bakal menjadi pilihan utama.

Gear 4 memang sedikit tinggi, mungkin khusus untuk menjimatkan minyak. Bila gear 3 ditarik sehingga maksima, gear 4 akan melihat sedikit penurunan pada tenaga enjin dan kelajuan, sebelum ia perlahan-lahan naik kembali.

Terus terang dikatakan, tidak perlu nisbah kelajuan yang terlalu banyak untuk transmisi automatik bagi kereta dengan enjin sekecil ini kerana penukaran terlalu banyak nisbah hanya akan mengganggu pemanduan.

05-Suzuki Swift 14-7

Ruang kabin nampak moden, dengan papan pemuka (dashboard) yang menarik dalam warna tona gelap. Nampak mahal walhal ia menggunakan plastik keras. Paling penting, panel plastik pada papan pemuka dan ruangan kabin Swift ini dipasang dengan baik dan tidak ternampak celahan renggang (gap) yang menyakitkan mata. Dipasang di kilang milik DRB Hicom di Pekan, kualiti nampaknya sama dengan model CBU yang dipasang di Thailand.

Versi premium didatangkan dengan punat penghidup enjin dan audio 2 DIN serta kawalan automoatik sepenuhnya untuk sistem pendingin hawa. Tempat duduk selesa depan dan belakang, walaupun untuk penulis yang bertubuh besar dan setinggi 6 kaki.

Tempat letak barang cuma sebesar 210 liter, memadai dengan Swift sebagai kenderaan hatcback dalam kategori B.

10-Suzuki Swift 14-21

Secara ringkasnya, Swift memberikan gaya kenderaan jenama Jepun dengan kualiti dan prestasi yang jauh lebih baik. Tepuk dada tanya selera, Swift pasti lebih bergaya. Buka dompet periksa poket, harga Swift memang mampu milik!

Spesifikasi

Suzuki Swift GLX AT

Enjin : K14B 1,372cc 4-silinder 16 injap VTI
Kuasa maksima : 94hp @ 6,900 rpm
Tork maksima : 130Nm @ 4,400 rpm
Transmisi : 4-kelajuan automatik
Ciri keselamatan : Dua beg udara, traction control, ABS, pre-tensioners
Harga : RM75,919.50 (atas jalan termasuk insurans)

 

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>