Siapa Hezeri

Hez-FB-profile

Bismillahirrohmanirohim

Hezeri Samsuri dilahirkan pada bulan Februari tahun 1973 di Kuantan, Pahang.

Anak sulung dari empat beradik, ibubapa beliau ialah sepasang pendidik yang berasal dari Muar, Johor yang kemudian berhijrah lantas menetap di Kuantan.

Sejak kecil lagi Hezeri menunjukkan minat yang sangat ketara kepada kenderaan. Malah, objek pertama yang dilukisnya ialah sebuah kereta, dan beliau terus melukis sehingga habis persekolahan. Di samping itu, Hezeri juga mempunyai minat yang mendalam di dalam penulisan, baik di dalam Bahasa Malaysia mahupun di dalam Bahasa Inggeris.

Lulusan Sarjana Muda TESL dari Universiti Malaya, Hezeri memulakan kariernya sebagai seorang pendidik. Beliau kemudian menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur dan terus menetap di situ sehingga kini.

Mula menulis secara serius mengenai permotoran sejak tahun 2004, Hezeri pernah menjadi pengarang berita untuk sisipan permotoran Berita Harian dan New Sunday Times.

Hezeri sekarang menerajui majalah automotif nombor satu negara, TopGear Malaysia dan beliau juga menyumbang hasil penulisannya di The Star (sisipan bulanan Star Motoring) dan mempunyai kolumnya di Utusan Malaysia dalam ruangan bisnes.

Selain dari itu, Hezeri mempunyai program televisyennya sendiri. Dokumentari 13 episod bertajuk Revolusi Auto yang pernah ditayangkan di saluran TVi oleh RTM.

WEB-PROFILE-2

Hezeri juga sering dipanggil untuk ditemubual mengenai sektor automotif di TV3, Awani dan RTM.

Laman hezerisamsuri.com ini dihasilkan atas usaha Hezeri untuk memartabatkan Bahasa Malaysia di dalam bidang automotif dunia. Impian beliau untuk memberikan pengetahuan automotif terkini kepada rakyat Malaysia yang berbahasa Malaysia. Gabungan artikel ringkas dengan bahasa santai serta fotografi yang menarik adalah antara ciri-ciri utama yang beliau hendak tekankan. Hezeri juga dibantu oleh beberapa penulis berpengalaman yang lain dan artikel mereka turut disunting agar mengikut spesifikasi dan kualiti yang telah ditentukan oleh Hezeri.

Pada masa lapangnya, ayah kepada lima orang cahaya mata ini gemar membaca, menunggang motosikal dan mengambil foto.

WEBSITE-PROFILE-1

“Jangan takbur dengan pengetahuan yang ada kerana sebanyak mana yang kita tahu, ia cuma ibarat setitik air di lautan.” Semoga kita sama-sama memperoleh ilmu dari laman web ini, In Sya Allah.

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone