SMS Bangau

Send your questions, any questions related to motoring, cars, etc.

019 962 XXXX
Saya berminat untuk membeli kenderaan baru tapi masih lagi membayar kenderaan yang lama. ada cara tak untuk langsaikan hutng kenderaan lama?
- Ada, jual segala harta dan langsaikan segala hutang piutang anda. Pasti kehidupan anda akan menjadi lebih baik. Jika tidak, cuba cari kempen promosi yang menawarkan “over-trade” yang tinggi. Nilai “over-trade” boleh digunakan untuk melunaskan hutang kenderaan terdahulu.

012 449 XXXX
Saya disaman ketika menaiki motor. Kesalahan saya memakai baju singlet, seluar pendek dan selipar. Sejak bila JPJ jadi lebih strict dari guru sekolah?
- Di sini yang salah ialah anda. ada kod etika pemakaian ketika memandu atau menunggang. Memakai selipar ketika menunggang sememangnya salah dan merbahaya kerana ia tidak menutup bahagian kaki dengan sempurna ketika sebarang kemalangan.

012 304 XXXX
Apa beza kenderaaan segmen A, B dan C?
- Segmen-segmen tersebut lebih merupakan kelas saiz kenderaan. Segmen A contohnya ialah untuk kenderaan bersaiz Perodua Viva. Segmen B untuk kenderaan bersaiz Toyota Vios dan Segmen C untuk kenderaan bersaiz Honda Civic. Segmen D pula ialah untuk kenderaan bersaiz Toyota Camry.

012 234 XXXX
Untuk bajet bawah RM100,000, apakah MPV yang sesuai untuk saya? Saya mempunyai 4 orang anak dan seorang isteri.
- Tahniah kerana mempunyai keluarga yang meriah. MPV memang pilihan sesuai untuk keluarga bersaiz seperti itu. Untuk bajet di bawah RM100,000, saya cadangkan Proton Exora Bold CFE (enjin turbo yang berkuasa, pengendalian paling sporti) atau Toyota Innova (enjin 2.0-liter dengan badan yang besar dan rangka besi ladder frame yang kukuh untuk penggunaan lasak, tapi suspensi tetap selesa) dan sekiranya anak-anak masih kecil dan anda mahukan MPV yang kecil, mungkin boleh timbangkan Nissan Grand Livina, Perodua Alza atau Toyota Avanza. Livina dan Alza lebih praktikal dari Avanza kerana kerusi barisan belakang boleh dilipat rata dan pemanduan lebih cenderung ke arah kereta. Paling penting, bawa keluarga dan pandu uji kesemua pilihan tersebut. Jangan lupa tanya pakej-pakej istimewa yang pasti ada!

013 342 XXXX
Apa yang dimaksudkan dengan radio double DIN? Siapakah Din?
- DIN bukan nama orang. DIN yang dimaksudkan di sini ialah singkatan dari perkataan Jerman yang bermaksud Deutsches Institut für Normung atau Institut Piawaian Jerman. Piawaian DIN ialah saiz standard untuk pelbagai komponen teknikal Bila disebut Double DIN audio, ia bermakna radio tersebut memerlukan dua ruang DIN radio di papan pemuka kenderaan.

013 333 XXXX
Kenapa ada kenderaan yang mempunyai batang suis lampu signal di sebelah kanan stereng dan ada yang berada di sebelah kiri stereng?
- Untuk kenderaan panduan-kiri seperti di Eropah dan China dan Taiwan, suis lampu membelok terletak pada sebelah kiri stereng kerana secara logik, tangan kanan akan telah ditugaskan untuk menukar gear dan menarik brek tangan. Alasan agihan tugasan yang sama juga digunakan untuk kenderaan panduan kanan seperti Malaysia, UK, Thailand dan pelbagai lagi negara Komanwel di mana tangan kanan dikhaskan untuk suis lampu membelok sementara tangan kiri digunakan untuk gear dan brek tangan.
Namun kereta Eropah yang selalunya diimport masuk masih menggunakan susun atur ala Eropah di mana agihan tugas lebih berat ke tangan kiri. Ini kerana ia lebih murah dan mudah untuk mengekalkan kawalan tersebut kerana jumla kenderaan yang dieksport ke negara panduan kanan tidak banyak.
Untuk Proton pula, ia memilih untuk meletakkan suis membelok di sebelah kiri kerana ia “lebih Eropah”. Mungkin ia mengeksport berjuta kenderaan ke Eropah, maka kita di pasaran panduan kanan harus menerima seadanya.

014 307 XXXX
Kenapa kedai tayar selalu menyuruh saya memasang skru chamber pada kereta saya? Adakah ia perlu?
- Ini soalan lazim. Pertamanya, ia dikenali sebagai skru pengubah “camber” (bunyinya kem-ber), bukan “chamber”. Camber ialah sudut tegak roda kenderaan (dipadang dari hadapan). Setiap pembuat kenderaan mempunyai cara tersendiri untuk mengubah kedudukan camber kenderaan mereka, dan ada yang memang tidak perlu diubah langsung. Namun kedai tayar gemar memasarkan produk tersebut kerana ia memudahkan kerja mereka. Sebenarnya, ada kenderaan yang memang menggunakan camber yang ditala secara negatif agar roda akan terkangkang sedikit. Ini untuk memberikan kestabilan kepada kenderaan. Paling penting, skru camber itu tidak dibuat oleh pembuat kenderaan dan ia mungkin akan mengakibatkan kerosakan lain.

014 222 XXXX
Kereta baru saya ada masalah di mana kipasnya masih berpusing walaupun enjin telah ditutup. Kadang-kala, ia berpusing sehingga 10 minit! Kenapa? Pusat servis kata ia satu fenomena normal, macam cuaca sejuk di negara kita.
- Pusat servis itu betul. Ada kenderaan yang mempunyai suhu operasi (working temperature) yang tinggi dan enjin perlu disejukkan secara berperingkat-ringkat bila ia dimatikan. Jika tidak, penurunan suhu mendadak akan menyebabkan blok enjin tidak tahan lama dan minyak hitam akan berkeladak (coking). Enjin turbo terutamanya mempunyai masalah begini, dan enjin Eropah seperti dari Volkswagen akan datang dengan pemasa kipas yang membolehkan kipas terus berpusing untuk menyejukan enjin walaupun enjin ditutup dan pintu dikunci. Enjin Campro dari Proton juga menggunakan ciri yang sama.

012 302 XXXX
Apa gunanya transmisi dengan kelajuan yang banyak? Adakah kereta lebih laju? Sekarang ini kita ada kereta dengan kotak gear automatik 5 kelajuan, ada yang 6 kelajuan. Saya bawa lori dulu, lori saya ada 12 kelajuan, tak laju pun.
- Kelajuan yang dimaksudkan itu ialah nisbah yang diberikan oleh kotak gear tersebut. Seperti lori, nisbah-nisbah yang ada membantu pemanduan anda, contohnya di lereng mendaki yang curam, nisbah rendah membantu lori untuk mendaki dengan beban yang tinggi. Semakin tinggi nisbah, semakin tinggi kelajuan kerana momentum dan laju enjin (RPM) juga menurun untuk membantu menjimatkan penggunaan minyak. Enjin sebenarnya menghasilkan kuasa yang sekata tetapi nisbah gear membantu menggunakan tenaga itu dengan paling maksimum. Cuma di dalam kotak gear automatik, nisbah yang banyak dengan enjin yang berisi-padu kecil mungkin akan mengakibatkan kotak gear sentiasa menukar-nukar nisbah (gear hunt) kerana kuasa kuda yang tidak mencukupi. Jadi kadang-kadang, untuk kereta berkapasiti rendah tanpa turbo, lebih baik menggunakan kotak gear automatik dengan empat kelajuan agar pemanduan lebih lancar.

019 647 XXXX
Saya berminat dengan motosikal besar (atas 500 cc) dan saya berhajat untuk membeli Honda CBR 1000 kerana terpikat dengan rakan saya yang menggunakannya. Ia nampak cantik dan laju, dan sangat mengujakan. Sebelum ini saya pernah menggunakan Yamaha Y100 Sport. Adakah saya perlu mengambil lesen B penuh kerana rakan-rakan saya masih menggunakan lesen L.
- Rakan-rakan anda sebenarnya bikers yang belum mampu kerana masih menggunakan lesen L. Lesen L ialah lesen belajar, dan tidak dibenarkan untuk membawa pembonceng serta sebarang kesalahan trafik yang dilakukan semasa menggunakan lesen L akan mempunyai risiko digantung tanpa boleh mengambil lesen betul selama beberapa tahun. Nasihat saya, belajar dengan betul cara pemanduan superbike dan ambil lesen B penuh lengkap. Ia memudahkan urusan insurans jika berlaku sesuatu. Honda CBR 1000 atau nama gelarannya Rabbit ialah antara super sportbike yang terbaik. Laporan tunggang uji kebanyakannya memberi pendapat yang sama – CBR ini mudah ditunggang. Harus diingat, penunggang uji itu bukan berlesen L dan mereka sudah berpengalaman menunggang selama berbelas tahun. Ia tetap sebuah motosikal berkuasa tinggi dan tiada dinding besi di sekeliling anda sekiranya berlaku kecelakaan. Pada pendapat saya, beli sebuah motosikal 250 terpakai dan gunakan selama setahun. Biasakan diri dengan pengendalian sebuah motosikal sebelum terus melompat ke atas pelana motosikal besar kerana seperti apa yang saya selalu katakan, kesilapan sekecil kumin di atas motosikal boleh meragut nyawa. Fikirkan risiko sebelum beriadah. Kurangkan risiko sebelum menerima padah.

Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Pin on PinterestShare on LinkedInEmail this to someone